- nabalunews
Kerjasama Awam-Swasta kunci kejayaan peralihan tenaga bersih
16 Ogos 2024
LIMA: Malaysia menggesa negara-negara di Asia Pasifik untuk memperkukuh kerjasama awam-swasta (PPP) sebagai langkah penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga mampan di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PPP adalah kunci dalam menggerakkan sumber, kepakaran, dan inovasi yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan Malaysia dalam beberapa inisiatif PPP seperti Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar Berskala Besar (LSS) boleh dijadikan rujukan bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
"Kerjasama awam-swasta amat penting dalam usaha peralihan tenaga ini. Pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian tenaga bersih dapat dipercepat dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong," kata Fadillah semasa berucap di Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) APEC 2024, di sini.
Beliau turut menekankan bahawa kestabilan dan kebolehramalan kepada pelabur melalui rangka kerja kawal selia serta ekosistem inovasi menerusi penyelidikan dan pembangunan adalah elemen kritikal dalam mencapai kejayaan peralihan tenaga mampan di rantau ini.
Comments