- Wartawan Nabalu News
Kerjasama BSMM, ICRC Sabah tingkatkan latihan, sokongan teknikal sukarelawan

8 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah dapat meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib menyifatkan kerjasama itu sebagai satu langkah positif untuk membantu masyarakat.
Beliau berkata, ICRC telah memberikan sokongan teknikal dan program latihan kepada sukarelawan BSMM Sabah sejak pejabatnya dibuka di sini pada 2013.
Antara program-program yang dijalankan ialah Training of Trainers (ToT) for Health & Hygiene, Core Team Workshop dan Program Pertolongan Cemas Harmonisasi (FATH).
Beliau juga memuji BSMM Sabah kerana membantu Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dalam memberi bantuan pertolongan cemas kepada pelatih-pelatih di Pusat Pengasingan Pengemis Bukan Warganegara.
“Saya yakin kerjasama ini dapat membantu kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan masyarakat dan saya berharap BSMM dan ICRC dapat menjadi badan sukarelawan yang hebat dan disegani,” katanya ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa anjuran BSMM dan ICRC baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Perubatan) Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis, Ketua Deligasi Serantau ICRC Kuala Lumpur, Omar Odeh, Ketua Pejabat ICRC Kota Kinabalu, Donnie Leong dan Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chong.