Kerjasama Erat Sabah Electricity dan SJA
- nabalunews
- May 25
- 1 min read

25 Mei 2025
KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan Sabah Electricity (SE) terus mengeratkan hubungan jangka panjang menerusi perlawanan bola sepak persahabatan yang diadakan di padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Likas, di sini, malam Sabtu.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada pasukan SJA dengan keputusan 5-4 selepas persaingan sengit daripada kedua-dua pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif SE, Mohd Yaakob Jaafar berkata, penganjuran perlawanan ini bukan saja untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak, malah sebagai penghargaan terhadap peranan SJA sebagai rakan strategik SE.

“Sabah Electricity menghargai kerjasama pihak media selama ini dalam mendapatkan penjelasan bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat.
“Kami berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan SJA demi manfaat semua pihak,” katanya dalam perasmian sebelum perlawanan dimulakan.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob turut mengumumkan sumbangan daripada Sabah Electricity sebanyak RM5,000 untuk Anugerah Media Kinabalu (KPA) yang akan diadakan pada Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yaakob berkata, perkara paling penting dalam penjenamaan semula Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada SE adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
Beliau berkata ini termasuk mengubah cara berfikir semua kakitangan SE supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna di Sabah dan Labuan, termasuk dari aspek teknikal.

Sementara itu, Ketua Biro Sukan dan Rekreasi SJA, Fardy Bungga merakamkan ucapan terima kasih kepada SE atas penganjuran perlawanan persahabatan itu.

Katanya, beliau turut bersetuju program seumpama ini dapat menjadi jambatan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara SJA dan SE yang sekian lama terjalin.
Comments