Kerjasama padu antara kerajaan negeri dan persekutuan tangani masalah air di Sabah: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerjasama padu antara kerajaan negeri dan persekutuan tangani masalah air di Sabah: Ewon


2 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri perlu proaktif untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.


Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, sekiranya masalah bekalan air di negeri ini tidak diselesaikan, ia dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kedatangan pelabur.


Katanya lagi, pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Putrajaya, semalam bagi mencari penyelesaian masalah bekalan air di negeri ini menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mencari jalan penyelesaian tuntas berkenaan masalah keperluan asas yang membelenggu rakyat Sabah selama ini.


“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau kepada rakyat Malaysia khususnya di dua negeri iaitu Sabah dan Kelantan yang berhadapan masalah air.

“Pengumuman mengenai peruntukan tambahan untuk tujuan itu menunjukkan komitmen besar Kerajaan Perpaduan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat negara ini.


“Saya berharap Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk menaikaraf kemudahan, mengenalpasti sumber air yang baru, membaiki paip lama dan mengenalpasti kebocoran seterusnya menutup kebocoran itu supaya dapat memberikan perkhimatan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.


“Saya percaya di peringkat kerajaan persektuuan kita sudah menyampaikan apa yang perlu diberikan dan rakyat mengharapkan kerajan negeri juga turut proaktif untuk meningkatkan kapasiti bagi menyelesaikan masalah air,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Yayasan Petronas sempena Pesta Kamatan 2023, di Dewan Kompleks Sukan Kota Belud, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah iaitu Ahli Parlimen dan Adun sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan pelbagai perkara agenda pembangunan di Sabah.


“Kami telah membangkitkan keperluan peruntukan tambahan yang besar untuk menyelesaikan masalah air, elektrik, jaringan jalan raya dan telekomunikasi serta pembangunan keusahawanan di Sabah.


“Hasil pertemuan itu, Perdana Menteri positif dan bersetuju dengan cadangan kami dan seperti yang dinyatakan semalam, peruntukan tambahan untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah,” katanya.


Mengenai masalah bekalan air di DUN Kadamaianm Ewon berkata, masih ada lebih 30 kampung yang bergantung kepada bekalan air graviti.


“Sebagai Adun di sini, saya menggunakan peruntukan Adun untuk membantu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah. Tetapi untuk jangka masa yang panjang, bekalan air graviti ini tidak akan berkekalan untuk memberi bekalan yang konsisten kepada mereka.


“Sehubungan itu perlu ada loji baharu dibangunkan di kawasan ini selain pemeriksaan berkala bagi mengenal pasti paip yang bocor dan mengalami kerosakan,” katanya.


Bagi kawasan Parlimen Penampang, Ewon berkata, kawasan itu juga memerlukan bekalan air bersih yang konsisten ekoran pembangunan pesat ekonomi termasuk industri, pusat komersial, perumahan dan pendidikan di Penampang.


Semalam Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor mengadakan pertemuan bagi

membincangkan isu masalah air.


Dalam pertemuan itu Hajiji berkata Sabah menerima bantuan kewangan sebanyak RM320.25 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi membantu mempercepatkan pelan jangka pendek untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.


Menurutnya, dana itu akan digunakan untuk pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh Sabah yang dijangka mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk disiapkan. Ia termasuk sembilan projek bagi daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

bottom of page