top of page

Kerjasama PH, BN Dengan GRS Belum Muktamad

  • nabalunews
  • 19 hours ago
  • 2 min read


11 Mei 2025


TAWAU: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih terbuka kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan PH, BN Sabah sebelum ini hanya di peringkat antara kedua-dua parti dan belum dimuktamadkan.


“Kita bekerjasama dengan tentunya UMNO-BN dan GRS sebab itu saya datang (ke Tawau) juga dan mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor supaya ada kesepakatan antara GRS, PH dan BN.


“Itu keputusan dari segi keadilan dan PH, ada yang baru-baru ini kenyataan yang dianggap berbeda. Kenyataan itu kerana perbincangan itu hanya di antara PH dan BN. Jadi kesepakatan itu kita bincang di peringkat itu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media, di Lapangan Terbang Tawau, hari ini.


Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.


Anwar berkata, pada mesyuarat di peringkat PH, BN Sabah sebelum ini, beliau juga memaklumkan kepada ahli mesyuarat akan ke Tawau untjk bertemu Hajiji.


Katanya, ia bagi mengadakan perbincangan mengenai hal kesepakatan ketiga-tiga parti terbabit agar lebih meluas dan terbuka.


“Jadi itu saya nak jelaskan. Mengapa hal itu perlu? Kerana bagi kita keutamaan ialah kestabilan politik, nasional dan negeri.


“Dan keduanya, hubungan negeri dengan Persekutuan harus baik dan saya lihat beberapa ahli politik termasuk yang pegang jawatan besar di Parlimen dan sebagainya yang kerjanya menyerang pusat sahaja,” katanya.


Terdahulu, satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung kesepakatan BN dan PH sebelum ini untuk menjalin kerjasama pada PRN17 di Sabah.


Kenyataan bersama itu ditandatangan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Susulan kenyataan itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengeluarkan kenyataan bahawa GRS sedia untuk bertanding secara solo.


Malah, Hajiji turut menegaskan akan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan sekiranya keputusan kerjasama PH dan BN Sabah dimuktamadkan bagi menghadapi PRN17.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page