top of page

Kerjasama Strategik KUSKOP, SESB Perkukuh Ekosistem Vendor di Sabah

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

ree

23 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuh ekosistem vendor di Sabah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV).


Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz, berkata kerjasama strategik itu akan mejadi jalinan kesepakatan dalam memberikan latihan serta pembinaan kapasiti yang menjurus kepada kefahaman pematuhan piawaian dan pensijilan selain peningkatan daya saing vendor tempatan.


“Melalui program pembangunan ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan oleh Sabah Electricity yang dapat membantu para vendor untuk mengakses dana, maklumat strategik dan pasaran digital,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sabah Electricity Vendor Day 2025 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.


Menerusi MoU itu, vendor Bumiputera yang berdaftar dengan Sabah Electricity layak menerima pelbagai bentuk sokongan termasuk bimbingan latihan, pembangunan teknikal dan khidmat nasihat keusahawanan yang di sediakan KUSKOP.


Selain itu, syarikat berdaftar turut diberikan bantuan penyelidikan dan pengkomersialan melalui Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dan Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV).


Mengulas penganjuran Sabah Electricity Vendor Day 2025 itu, Saadiah berkata ia mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh hubungan strategik dengan vendor sebagai rakan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.


“Tema tahun ini, “Bersama, Kita Memperkasa Pertumbuhan Melalui Perkongsian yang Mampan” mencerminkan semangat kebersamaan dan kepercayaan bahawa kejayaan Sabah Electricity tidak mungkin dicapai tanpa sokongan berterusan daripada para vendor.


“Justeru, dalam ekosistem tenaga yang semakin mencabar dan dinamik, kita memerlukan perkongsian kukuh, telus dan mampan bukan sahaja untuk memastikan bekalan elektrik yang stabil, tetapi juga menyokong aspirasi menuju masa depan tenaga lestari,” ujarnya.


Melangkah ke hadapan, katanya, Sabah Electricity terus menekankan nilai integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap urus niaga.


“Perkongsian yang mampan bukan sekadar tentang keuntungan, tetapi tentang membina hubungan jangka panjang yang berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama.


“Kita mahu vendor yang berdaya saing, inovatif dan komited kepada kualiti seiring dengan matlamat Sabah Electricity untuk menjadi penyedia tenaga elektrik yang dipercayai dan lestari di Sabah,” katanya.


Sempena penganjurannya, syarikat itu turut memperkenalkan Platform E-Dagang Digital sebagai inisiatif baharu dalam memperkukuh ekosistem vendor secara digital, selaras dengan agenda ekonomi digital yang inklusif.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page