KERJASAMA STRATEGIK UMS-JKNS BAGI REALISASI HASRAT HASIL GRADUAN PERUBATAN BERKUALITI
- nabalunews
- May 11, 2021
- 2 min read

11 Mei 2021
KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) serta rakan strategik lainnya dalam industri perubatan dilihat satu keperluan yang mendesak bagi merealisasikan hasrat UMS menghasilkan graduan Program Perubatan yang berkualiti tinggi, berakhlak dan berketerampilan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk CHM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS mengambil langkah proaktif menjalin kerjasama strategik bersama pemain industri kesihatan bagi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang holistik, efisien dan profesional kepada masyarakat khususnya di Sabah.
“Usaha ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pakar perubatan tempatan khususnya di Sabah yang secara tidak langsung akan melonjak tahap kesihatan penduduk Borneo apabila kebolehcapaian perubatan lebih mudah, pantas serta menjimatkan tersedia.
“Saya percaya kolaborasi sebegini yang selaras dengan halatuju UMS dan juga halatuju perkhidmatan klinikal di Hospital UMS (HUMS) mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, setanding negara maju lainnya.
“Perkara ini tidak mustahil kerana Malaysia antara negara yang mempunyai kemudahan kesihatan terbaik di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Kerjasama dan Pelantikan Rakan Strategik Perubatan UMS di Hotel Hilton, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Taufiq berkata, Rakan Strategik Perubatan UMS merupakan kerjasama pintar pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) yang antara lain dapat mewujudkan rangkaian kerjasama UMS bersama rakan strategik dengan dunia luar menerusi kerjasama penyelidikan, persidangan, bengkel mahupun penerbitan berimpak tinggi.
“Rangkaian kerjasama ini jika dapat dilaksanakan mampu memberikan pulangan dalam menghasilkan inovasi perubatan mahupun produk sains kesihatan.
“Aktiviti ini bukan sahaja mampu melonjak keterlihatan UMS sebagai pemberi pendidikan tapi pada masa yang sama bergabung bersama pemain industri perubatan bagi mempertingkatkan tahap kesihatan masyarakat menerusi program dan hasil inovasi.
“Apa yang lebih penting Sabah khususnya mampu menyumbang dalam melahirkan pakar dalam bidang perubatan serta sains kesihatan,” kata Taufiq.
Beliau turut berharap agar usaha kolaborasi tersebut diperkukuhkan dari masa ke masa melalui aktiviti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS bersama pihak JKNS serta rakan strategik UMS, di samping turut mengalu-alukan sebarang sesi perbincangan diadakan di ruang FPSK oleh rakan strategik perubatan UMS.
Pada majlis tersebut, Taufiq menyampaikan Surat Lantikan Rakan Strategik Perubatan UMS kepada wakil-wakil dari jabatan-jabatan perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNS, serta turut berbuka puasa bersama-sama para hadirin termasuk kakitangan FPSK UMS dan HUMS.
Hadir sama pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Pengarah HUMS, Prof. Dr Helen Benedict Lasimbang; dan wakil Pengarah JKNS, Dr. Muhamad Hj. Jaikal.















Comments