Kertas Siasatan Kes Zara Qairina Sedia Ditaklimatkan Kepada Pejabat Peguam Negara

17 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes Zara Qairina sedia untuk dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, taklimat kertas siasatan berkenaan akan diadakan pada 18 Ogos depan.
Katanya, ia bagi mendapatkan nasihat dan arahan setelah tindakan siasatan lanjut dilaksanakan oleh Pasukan Khas Task Force.
“Setakat ini, seramai 195 saksi telah dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Ia melibatkan saksi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan lain-lain saksi yang material kepada siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan polis memfokuskan kepada dia elemen penting iaitu siasatan dari aspek inkues dan aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu.
Sehubungan itu, Kumar menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
“PDRM juga memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.















Comments