nabalunews
Kerugian pelaburan dalam FashionValet, PM arah khazanah lakukan audit dalaman
2 November 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk menjalankan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan sebanyak RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Anwar, yang juga Pengerusi Khazanah, menjelaskan bahawa arahan tegas ini adalah selaras dengan komitmen beliau untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara sejajar dengan arahan terdahulu kepada Jabatan Audit Negara untuk menjalankan audit menyeluruh terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 di Pulau Pinang hari ini, mahu siasatan dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.
Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan berkata suruhanjaya itu telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan berkenaan serta memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan profesional.
Comentarios