top of page

Kes 1MDB: Mahkamah putuskan surat derma Arab palsu

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

ree

26 Disember 2025


PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan empat surat derma Arab yang dikemukakan Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB), adalah palsu.


Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ketika menyampaikan keputusannya, berkata salinan asal surat berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah.


Menurutnya, pihak pembelaan bekas Presiden Umno itu tidak pernah membuat sebarang pengesahan bahawa dana itu benar-benar diterima daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.


"Surat itu palsu kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB.


"Ada jejak transaksi yang menunjukkan ia disalurkan melalui syarikat swasta Vista Equity, Blackstone dan Tanore, entiti yang dimiliki ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya lapor Sinar Harian.


Hakim berkata, menjadi suatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.


Lebih-lebih lagi katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Riyadh, Arab Saudi pada 2013 gagal mengesahkan kesahihan surat sumbangan bagi menyokong pemberian dana berkenaan.


Collin yang mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Disember lalu berkata, mahkamah mendapati dana tersebut boleh dianggap sangat mencurigakan.


Susulan itu katanya, mahkamah menolak hujahan pembelaan bahawa dana RM2.3 bilion itu sebagai derma kerajaan Arab Saudi.


Selepas Sequerah membacakan penghakiman selama dua jam 30 minit, mahkamah berhenti rehat untuk solat Jumaat sebelum bersambung pada jam 3 petang.


Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama antara 2011 hingga 2014.


Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.


Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.


Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.


Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page