Tourism Malaysia nafi kaitan acara Miss & Mister Celebrity International
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

26 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peganjuran acara Miss & Mister Celebrity International 2025.
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius tindakan penganjur didapati menggunakan logo rasmi tanpa kebenaran bagi acara berlangsung pada 14 hingga 22 Disember lalu di Sentul.
"Didapati penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur telah dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi.
"Sehubungan itu, MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsifran awam, atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara tersebut atau penggunaan logo tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MOTAC dan Tourism Malaysia memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi.
Terdahulu, tular di dalam media sosial video memaparkan seorang lelaki yang didakwa berpakaian wanita ketika menghadiri satu majlis bertaraf antarabangsa sehingga mengundang reaksi negatif warga maya.














