Titah Adendum: PM mahu semua pihak hormati keputusan mahkamah
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

23 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghormati keputusan mahkamah berhubung isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang diputuskan semalam.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.
Katanya, badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar, justeru keputusan yang dibuat oleh hakim perlu dihormati.
"Atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat.
"Ia termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam masa sama, Anwar menyeru semua pihak agar menangani isu berkenaan dengan penuh sabar dan bijaksana serta tidak mengeruhkan suasana dalam keadaan sensitif ini.
"Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk menambah ketegangan,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan Najib yang juga bekas Perdana Menteri kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.














