- Wartawan Nabalu News
Kes baharu Covid turun kepada 1,655 kes pada hari ini

15 Ogos 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABAU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 1,665 kes berbanding 1,752 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 105,102 kes.
Sebanyak sembilan kes kematian turut dilaporkan hari ini, iaitu Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mencatatkan tiga kes, dua kes di Papar dan satu kes di Lahad Datu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes baharu harian tertinggi hari ini direkodkan di Tawau (245 kes) dan Sandakan (244 kes), manakala Kota Kinabalu mencatatkan penurunan kes dengan 207 kes hari ini.
""Daerah lain yang mencatatkan kes tinggi ialah Kinabatangan (152 kes), Penampang (128 kes), Papar (107 kes) dan Kota Belud (76 kes)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah dengan 916 kes bersamaan 54.95 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
"Selebihnya, saringan bergejala merekodkan 390 kes, saringan kluster merekodkan 226 kes, saringan bersasar pula sebanyak 35 kes dan saringan lain-lain kes merekodkan sebanyak 99 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
"Sebanyak 138 kes daripada saringan kluster direkodkan di Kinabatangan manakala, tiga daerah merekodkan kes saringan kontak rapat yang tinggi iaitu di Tawau (155 kes), Sandakan (158 kes) dan Kota Kinabalu (112 kes).
"386 kes daripada semua pesakit hari ini adalah dalam Kategori 1, 751 kes dalam Kategori 2, lapan kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan hanya satu kes dalam Kategori 5, manakala 514 kes lagi masih dalam siasatan,"katanya.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 1,220 orang menjadikan jumlah kumulatif 88,196 orang.
“Seramai 5,268 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,141 orang di hospital, 4,081 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 38 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 159 orang dan 63 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.