Kes COVID-19 negara menurun 9.9 peratus

8 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kes jangkitan COVID-19 di Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 9.9 peratus ke 5,801 kes baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-21/2023 dari 21 hingga 27 Mei, berbanding 6,439 kes pada ME 20/2023.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan awam juga menurun dari 5.8 kepada 5.3 bagi setiap 100,000 penduduk pada tempoh yang sama.
"Peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 masing-masing menurun sebanyak 4 peratus pada ME 21/2023 berbanding ME 20/2023," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menggesa rakyat Malaysia untuk meningkatkan kadar vaksinasi penggalak kerana hanya separuh daripada penduduk negara ini telah menerima dos penggalak pertama dan hanya 2.5 peratus yang telah menerima dos penggalak kedua.
"KKM juga ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP yang berkuat kuasa seperti memakai pelitup muka semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi dan lain-lain serta pemakaian pelitup muka di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya," tambahnya.
Comments