top of page

Kes Zara Qairina: SKMM gesa henti sebar maklumat tidak sahih

  • nabalunews
  • Aug 7, 2025
  • 1 min read

7 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandang serius gesaan Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.


Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata penyebaran gambar, video atau sebarang maklumat yang belum disahkan bukan sahaja boleh mengguris perasaan ahli keluarga, malah bercanggah dengan nilai etika serta berpotensi melanggar undang-undang sedia ada.


"SKMM turut mengulangi peringatan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil agar semua pihak menghormati siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.


Katanya, penyebaran maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.


Mangsa disahkan meninggal dunia keesokan harinya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page