top of page
  • nabalunews

KESALINGHUBUNGAN INTERNET: SAIFUDDIN HARAP KERAJAAN NEGERI KURANGKAN BIROKRASI


27 OKTOBER 2020


KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil kira utiliti ketiga iaitu kesalinghbungan internet untuk dimasukkan dalam rancangan mereka, sekali gus membantu menjayakan pelan infrastruktur digital negara iaitu Jalinan Digital Negara (JENDELA).  

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerenah birokrasi seboleh-bolehnya harus dibuang dalam perkara ini, bagi membantu usaha kerajaan mempercepatkan lagi capaian atau kesalinghubungan internet dalam negara yang kini menjadi kemudahan penting.

“Sebab ini antara  faktor yang boleh mempercepatkan lagi capaian apabila proses mendapatkan kelulusan dipercepatkan,” katanya ketika menjadi hos bagi rancangan Temu Minda: Gambaran Besar Kesalinghubungan Internet yang disiarkan secara langsung di Facebook KKMM.


Dua panel yang menjadi tetamu pada program itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan  Ketua Pegawai Kawalselia dan Pembangunan Masyarakat Celcom Axiata Berhad Zuraida Jamaluddin.

Saifuddin berkata beliau amat berharap agar semua rakyat Malaysia dapat menikmati kualiti perkhidmatan dan pengalaman yang terbaik melalui kesalinghubungan internet yang semakin hari semakin meluas, murah dan semakin baik. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lalu mengumumkan kerajaan akan membangunkan JENDELA, dalam usaha menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Pelan itu akan meletakkan asas bagi kemudahan liputan jalur lebar yang komprehensif dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk beralih ke arah teknologi 5G. 

Sementara itu, Fadhlullah berkata JENDELA akan dilaksanakan secara berperingkat dan fasa yang bermula sekarang menumpukan kepada memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus.

“Bagaimanapun usaha ini banyak bergantung dengan pemantauan dan kerjasama daripada pihak pembekal perkhidmatan telekomunikasi. Apabila rangkaian itu kukuh kita dengan senang boleh terus beralih  kepada rangkaian 5G," katanya. 

Dalam pada itu, Zuraida berkata pihaknya melihat bahawa aspek pendapatan sesuatu masyarakat itu amat berkait rapat dengan pendigitalan, iaitu akses kepada internet.

"Antara ketidaksamaan digital berkait rapat dengan ketidaksamaan pendapatan, jadi kalau kita boleh baiki akses internet dengan sendirinya kita boleh baiki sosioekonomi status masyarakat,” katanya.  - Bernama

bottom of page