Kesatuan penduduk penting jayakan pembangunan ekonomi desa - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kesatuan penduduk penting jayakan pembangunan ekonomi desa - Ewon


Ewon (tengah) menerima cenderamata daripada Kipol. - Foto NABALU NEWS/ MARK GILBERT

3 Feb 2022

Oleh Romie Poulin


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa kesatuan penduduk amat penting bagi menjayakan pembangunan ekonomi desa di kampung mereka.


“Memulakan sesuatu projek ekonomi desa bukan mudah kerana setiap penduduk pastinya mempunyai idea dan pendapat masing-masing mengenai potensi kampung mereka. Lebih-lebih lagi jika pendapat itu didorong oleh fahaman parti politik penduduk kampung, pasti akan ada yang tidak sependapat dengan penyokong parti lain.


“Tetapi, perkara yang baik harus diteruskan selagi ianya didukung oleh sebahagian penduduk yang bersatu-padu mahu melaksanakannya dengan teratur. Pencapaian dan keberhasilan projek ekonomi yang telah dimulakan itu akan menenggelamkan pendapat-pendapat sinis,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa berucap menyempurnakan perasmian Hari Keluarga dan Sambutan Tahun Baharu Persatuan Eko Pelancongan Liogu Ku Silou-Silou Kg. Koung Malaan, Kota Belud, di sini, hari ini.


Beliau menyifatkan kesatuan penduduk kampung tersebut dalam menjayakan pembangunan eko pelancongan komuniti antara yang terbaik di DUN Kadamaian.


“Tidak banyak pelancongan komuniti yang kekal sehingga kini kerana ramai yang memilih untuk membangunkan kawasan tanah masing-masing secara bersendirian.


Ewon bergambar bersama ahli Persatuan Eko Pelancongan Liogu Ku Silou-Silou. - Foto NABALU NEWS/ MARK GILBERT

“Tetapi eko pelancongan komuniti Kg.Koung Malaan masih aktif dan berkembang sehingga hari ini, malah telah dapat memberikan pembayaran dividen kali pertama kepada ahli-ahlinya baru-baru ini,” katanya.


Ewon turut mengulangi komitmennya untuk terus memainkan peranan membantu keperluan pembangunan yang berkaitan di kawasan eko pelancongan kampung tersebut.


“Saya telah banyak kali datang ke kawasan ini sejak sebelum menjadi Wakil Rakyat. Semasa saya Setiausaha Politik sebelum ini, saya telah menyalurkan serba sedikit sumbangan yang diperlukan.


Ewon ketika berucap pada majlis itu. - Foto NABALU NEWS/ MARK GILBERT

“Selepas menjadi Wakil Rakyat Kadamaian pada tahun 2018, saya meneruskan tanggungjawab membangunkan kawasan-kawasan pelancongan di Kadamaian.


“Bagi eko pelancongan Silou-Silou, saya telah menyalurkan peruntukan membina sebuah Dewan Terbuka yang kini sudah siap sepenuhnya dan digunakan hari ini. Dewan ini juga digunakan untuk acara lain seperti resepi perkahwinan oleh penduduk dan pengunjung ke sini. Bagaimanapaun, keperluan pembangunan sentiasa ada termasuklah untuk menaiktaraf jalan masuk ke kawasan ini,” katanya.


Ewon juga berharap agar kepimpinan dan penduduk kampung akan meneruskan kesatuan untuk terus membangunkan kawasan eko pelancongan mereka selain daripada projek-projek ekonomi yang lain.


“Memulakan sesuatu bukan mudah. Meneruskan sesuatu juga bukan mudah. Ada pepatah yang menyebut Rome tidak dibina dalam masa sehari. Begitu juga dengan kampung ini dan kampung-kampung lain. Tetapi selagi kesatuan itu wujud dalam komuniti, maka segalanya akan dapat dipermudahkan dan dijayakan,” kata Ewon.


Ewon melawat ternakan ikan jinak di Eko Pelancongan Liogu Ku Silou-Silou. - Foto NABALU NEWS/ MARK GILBERT

Sementara itu, Pengerusi Eko Pelancongan Silou Silou Kg.Koung Malaan Kipol Surag menyatakan penghargaan kepada Ewon di atas sumbangan dan peranan berterusan membantu keperluan pembangunan mereka dari dahulu sehingga kini.


“Ewon telah banyak membantu keperluan berkaitan di kawasan ini sejak dahulu. Kami berharap beliau akan terus menyokong dan menjayakan keperluan pembangunan kami pada masa akan datang kerana ini merupakan program ekonomi yang penting bagi komuniti di kampung ini.


Foto NABALU NEWS/ MARK GILBERT

“Selepas lebih satu tahun tidak beroperasi kerana pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan, kawasan ini dibuka semula pada penghujung tahun lepas dan kini mulai didatangi oleh para pengunjung. Pada penghujung tahun lepas sahaja, kami telah merai hasil lebih RM10,000,” katanya.


Kawasan eko pelancongan Silou-Silou Kg Koung Malaan dibangunkan oleh penduduk kampung pada tahun 2017 dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kawasan perkhemahan, tempat tinggal, dewan terbuka dan katering.

bottom of page