Kesatuan penduduk penting jayakan perjuangan untuk pembangunan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kesatuan penduduk penting jayakan perjuangan untuk pembangunan - Ewon


12 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan kesatuan dan kerjasama di kalangan penduduk sangat penting bagi menjayakan perjuangan pembangunan kampung masing-masing.


Menurut beliau, perbezaan politik seharusnya semasa musim kempen pilihanraya kerana parti-parti yang bertanding juga mempunyai perjuangan yang sama untuk membangunkan rakyat.


“Seringkali saya melihat perbalahan di peringkat kawasan di media sosial yang agak ekstrem kerana perbezaan politik. Ini tidak seharunsya berlaku kerana Wakil-Wakil Rakyat samada di pihak kerajaan, pembangkang atau bebas juga ada masanya bertemu untuk berbincang mengenai isu-isu rakyat.


“Jangan kita jadikan perbezaan politik sebagai gangguan atau halangan untuk menjayakan pembangunan di kampung atau kawasan kita. Sebaliknya kita perlu fokus berganding bahu untuk melawan gangguan yang lebih besar iaitu kegagalan menunaikan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia.


“Sebab itu selaku Wakil Rakyat Kadamaian, saya mengambil keputusan bersama beberapa ADUN dan Ahli Parlimen pembangkang memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi untuk menuntut hak-hak kita,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Rangalau, di sini, pada kelmarin.


Sambutan tersebut dianjurkan oleh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut.


Ewon tersebut menyatakan bahawa tidak timbul isu Wakil Rakyat pembangkang tidak boleh hadir merasmikan acara-acara rakyat kerana pihak Kerajaan turut menjemput Wakil-Wakil Rakyat pembangkang dalam banyak acara.


“Seharusnya tidak timbul isu yang menghalang Wakil Rakyat hadir ke acara-acara rakyat di kawasan yang diwakili. Saya sendiri menghadiri beberapa acara anjuran Kerajan atas jemputan rasmi mereka termasuk ulangtahun pelan Sabah Maju Jaya, Hari Raya Puasa dan Kaamatan,” katanya.


Dalam sambutan tersebut, Ewon turut melancarkan tabung bantuan bagi keluarga di kampung tersebut yang kehilangan rumah akibat kebakaran baru-baru ini.


Beliau turut bersetuju menyalurkan sumbangan sebanyak RM3,000 untuk membaikpulih dan mengecat semula lantai dewan kampung tersebut.

bottom of page