top of page

Kesedaran ESG Penting Bagi Perusahaan PMKS

  • nabalunews
  • Jun 28
  • 2 min read

28 Jun 2025


KOTA KINABALU: Kesedaran ESG yang merangkumi aspek Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus sangat penting khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merupakan tunjang kepada ekonomi negara.


Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Dr Kasim Mansor berkata, dengan mengamalkan prinsip ESG, PMKS bukan saja dapat memastikan kelestarian perniagaan, tetapi juga dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.


Katanya, ESG bukanlah sekadar satu trend semata-mata, tetapi ia merupakan satu keperluan untuk memperkukuhkan daya saing dan kelangsungan perniagaan dalam era globalisasi yangmencabar.

“Sebagai contoh, syarikat yang mengutamakan tanggungjawab sosial dan pengurusan alam sekitar yang baik biasanya akan lebih mudah menarik pelabur dan pelanggan, sekaligus meningkatkan reputasi mereka di pasaran.


“Sebagai institusi pengajian tinggi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil peranan aktif dalam membantu masyarakat memahami dan mengamalkan ESG,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Seminar Kesedaran ESG untuk PKMS di Hotel Pacific Sutera, di sini, hari ini.


Terdahulu, seminar berkenaan dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Kasim berkata, pihaknya sentiasa berusaha memasyarakatkan konsep ini kepada PMKS melalui pelbagai program dan inisiatif yang dirancang khusus untuk memudahkan pemahaman serta pelaksanaan ESG dalam operasi mereka.


Katanya, menerusi pendekatan itu, pihaknya berharap golongan PMKS dapat mengambil peluang untuk memperbaiki amalan perniagaan mereka demi mencapai pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.


“Namun begitu, kejayaan pelaksanaan ESG

tidak dapat dicapai secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama yang erat antara

pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta masyarakat umum.


“Hanya dengan usaha bersepadu seperti ini, kita dapat merealisasikan matlamat kerajaan untuk menjadikan ESG sebagai amalan standard dalam semua aspek pembangunan dan perniagaan di negara kita,” katanya.


“Jadikan seminar ini sebagai titik permulaan transformasi PMKS Sabah ke arah kelestarian yang sebenar, bukan saja dari sudut perniagaan, tetapi juga dari segi tanggungjawab sosial dan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page