Keselamatan Pelajar Keutamaan Mutlak
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

15 Ogos 2025
TUARAN: Exco Pemuda Pakatan Harapan (PH) Tuaran menegaskan keselamatan pelajar harus menjadi keutamaan mutlak.
Sekolah juga perlu kekal neutral daripada sebarang pengaruh politik bagi memastikan fokus pendidikan tidak terganggu.
Kenyataan itu merujuk kepada penegasan Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini yang berkata, “Jangan ganggu guru kami” susulan kes melibatkan pelajar yang mendapat perhatian umum, termasuk isu Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama berkata, tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menempatkan sementara kakitangan sekolah terlibat ke Jabatan Pendidikan Negeri sementara siasatan dijalankan adalah tepat.
Bagaimanapun katanya, pembaharuan menyeluruh perlu dirangka bagi mengelakkan tragedi seperti itu berulang kembali.
“Keselamatan yang bersifat holistik perlu dilaksanakan hingga ke peringkat asas iaitu menghapuskan budaya membuli secara menyeluruh termasuk penambahbaikan struktur fasiliti sekolah untuk keselamatan dan kebajikan pelajar.
“Begitu juga dengan pengukuhan organisasi keselamatan dengan penempatan warden atau pengawal terlatih yang bukan daripada kalangan guru,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan secara bersama oleh Exco Pemuda PH yang terdiri daripada Ketua Pemuda UPKO Tuaran, Rayner Ebi; Penolong Setiausaha Pemuda AMANAH, Esham Tarmizi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tuaran, Arief Hambali J Indan.
Menurutnya, Exco pemuda PH Tuaran turut menggesa agar ada tindakan pemantapan sistem keselamatan, saluran aduan, dan dasar perlindungan pelajar yang telus dan berkesan.
“Garis panduan terakhir dicadangkan adalah penerapan program kemanusiaan untuk membina budaya saling hormat di seluruh komuniti sekolah,” katanya.
Sehubungan itu, Exco Pemuda PH Tuaran turut menzahirkan kesedaran terhadap peranan guru sebagai pendidik yang membentuk generasi masa depan.
“Kami menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang inklusif.
“Langkah ini penting demi memastikan sekolah terus menjadi tempat yang selamat, adil, dan kondusif untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang,” katanya.
תגובות