KESIHATAN MENTAL PELAJAR UNIVERSITI MESTI DIUTAMAKAN
- Wartawan Nabalu News
- Jul 11, 2021
- 2 min read

11 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa Demokratik (GMD) dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius masalah kesihatan mental di kalangan pelajar. Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Ketua Penerangan GMD Affan Nassruddin dan Pengarah Libat Urus & Mobilisasi Parti Ikatan Demokratik (MUDA) Dr. Mathen, ini penting bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku dikalangan pelajar IPTA. “Kami berharap agar pihak KPT dan semua IPT memandang serius masalah kesihatan mental pelajar supaya tragedi seperti ini tidak lagi berulang. “Jika tiada sebarang perubahan yang mencukupi dibuat selepas ini, maka pihak-pihak bertanggungjawab akan dilihat seperti langsung tidak kisah kebajikan dan kesihatan pelajar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Berita Harian pada 10 Julai lalu mengenai satu kes pelajar IPTA meninggal dunia disyaki akibat tekanan belajar secara atas talian. Menurut kenyataan itu, pembelajaran secara atas talian yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu menyebabkan pelajar mengalami tekanan dan lesu upaya (burnout) dengan beban kerja yang tidak munasabah. “Mengambil kira situasi pandemik yang semakin kritikal melanda negara kita, pelajar tidak seharusnya diharapkan untuk meneruskan pembelajaran seperti tiada apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya. Sehubungan itu, GMD dan MUDA menggesa KPT serta semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) supaya mengambil tindakan tegas dan tuntas bagi menangani masalah itu. “GMD dan MUDA menggariskan enam cadangan bagi mengatasi masalah itu termasuk mengurangkan bebanan kerja dan kalendar akademik serta rangka kursus tidak boleh diubah sesuka hati tanpa persetujuan pelajar. “Kami juga mencadangkan agar masa rehat selama satu minggu harus diberikan selepas setiap empat minggu. Tiada ujian, kuiz atau tarikh akhir penghantaran tugasan dalam minggu tersebut. “Tarikh akhir penghantaran tugasan harus dilanjutkan supaya pelajar mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkannya tanpa tekanan,” kata kenyataan itu. Mereka juga mencadangkan agar semua kelas, ujian atau kuiz dihadkan kepada waktu bekerja sahaja supaya tidak mengganggu masa pelajar menguruskan hal lain dan memberi peluang kepada mereka untuk berehat. “Subjek yang tidak penting harus dihapuskan agar pelajar dapat fokus kepada subjek penting yang memberi impak kepada kebolehpasaran pelajar setelah bergraduasi. “Semua pihak terutamanya tenaga pengajar perlu berhenti menyalahkan mangsa, menuding jari dan berdolak-dalik agar dapat mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi punca masalah seperti kekangan kewangan, kebajikan keluarga dan lain-lain,” katanya.
Comments