Ringgit terus kukuh berbanding Dolar AS, disokong prospek ekonomi AS yang lemah dan peningkatan eksport Malaysia
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

21 Mei 2025
KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia memulakan dagangan pada hari Rabu dengan prestasi kukuh apabila mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh kelemahan mata wang negara itu susulan prospek ekonominya yang kurang memberangsangkan serta kebimbangan mengenai isu tarif.
Pada jam 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.2790/2960 berbanding dolar AS, meningkat daripada 4.2950/3010 pada penutupan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen pelabur terjejas disebabkan ketidaktentuan masa depan ekonomi AS, terutamanya yang berkaitan dengan dasar tarif yang berpotensi mempengaruhi kadar inflasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Indeks Dolar AS (DXY) dilihat turun 0.31 peratus kepada 100.118 mata manakala harga ekuiti AS merosot apabila terlebih beli.
“Bagaimanapun, hasil Perbendaharaan AS meningkat berikutan semakan turun penarafan ke atas kerajaan AS baru-baru ini mungkin menjejaskan rancangan untuk pengembangan dasar fiskal,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, nilai ringgit dijangka kekal dalam julat 4.28 hingga 4.29 berbanding dolar AS, dengan pasaran terus berhati-hati.
“Selain itu, Malaysia mencatat angka eksport lebih baik daripada jangkaan pada April dengan 16.4 peratus berbanding anggaran awal 7.5 peratus.
“Oleh itu, ini mungkin menjelaskan mengapa Bank Negara Malaysia tidak mengurangkan kadar dasar semalaman pada minggu lepas kerana masih mahu mendapatkan lebih banyak maklumat sebelum membuat keputusan mengenai pelonggaran monetari,” katanya.
Comentarios