Kesilapan Sendiri Jejas Prestasi Sabah- Alto Linus
- nabalunews
- 32 minutes ago
- 1 min read

23 Februari 2026
KOTA KINABALU: Pasukan Sabah FC memerlukan banyak penambahbaikan segera susulan kekalahan besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, semalam.
Perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 1-6 itu ternyata berpunca daripada kesilapan sendiri pemain yang gagal mengawal pemain lawan.
Pemangku Jurulatih Sabah FC Alto Linus berkata, corak permainan Sabah FC menunjukkan beberapa kelemahan ketara, khususnya daripada aspek pertahanan yang membawa kepada jaringan mudah oleh lawan.

“Secara keseluruhan, banyak yang harus kita perbaiki daripada segi permainan, terutamanya jaringan yang kita boloskan akibat kesilapan sendiri.
“Ini perlu diperbetulkan dengan segera kerana kita masih mempunyai perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Alto berkata, kegagalan memperbaiki kelemahan itu akan menyebabkan kesilapan sama berulang, lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan berprofil tinggi seperti JDT.
“Apabila kita menentang pasukan seperti JDT, kesilapan kecil akan cepat dihukum. Dengan keputusan seperti ini, adalah tidak jujur untuk kita bercakap secara positif seolah-olah tiada masalah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melihat perlawanan akan datang sebagai penentu penting, khususnya aksi menentang Negeri Sembilan FC minggu hadapan.
“Perlawanan paling penting selepas ini adalah menentang Negeri Sembilan. Kita perlu bangkit dan memperbaiki segala kelemahan yang ditunjukkan malam ini,” katanya.
Sementara itu, Alto turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 5,000 penyokong yang hadir memberi sokongan di stadium dan berharap kehadiran penyokong dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya.
“Terima kasih kepada penyokong yang hadir malam ini. Saya berharap mereka terus bersama pasukan dan memberi sokongan apabila kita bertemu Negeri Sembilan nanti,” ujarnya.











