Kesinambungan kepimpinan UPKO peringkat bahagian tampilkan ramai wajah baharu: Ewon
- nabalunews
- Jul 19
- 3 min read

19 Julai 2026
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata kemunculan ramai pemimpin baharu yang bersedia memikul tanggungjawab menerajui parti itu di peringkat Bahagian menunjukkan perkembangan positif untuk kesinambungan kepimpinan parti.
Beliau berkata, berdasarkan keputusan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO di seluruh bahagian di Sabah, ramai ketua bahagian baharu dipilih, selain penyertaan ramai muka baharu yang layak bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) serta Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda.

“Ini adalah sesuatu yang sangat positif untuk UPKO dan saya amat menghargai minat mereka yang tampil menawarkan diri untuk memimpin parti ini.
“Saya berharap Kongres UPKO pada 9 dan 10 Ogos ini, yang julung kali diadakan di Hongkod Koisaan KDCA, dapat memilih calon pilihan mereka sekali gus memastikan kesinambungan perjuangan parti terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama UPKO Bahagian Putatan dan Kota Kinabalu di Putatan, pada Sabtu.

Ewon berkata, kesinambungan kepimpinan perlu diseimbangkan dengan mengekalkan sebahagian pemimpin kanan yang masih menawarkan diri, di samping memberi peluang kepada pemimpin baharu untuk bersama menerajui parti.
“Dengan erti kata lain, perlu juga dikekalkan sebahagian pemimpin kanan yang masih menawarkan diri dan pada masa sama kita perlu mengangkat bersama wajah-wajah baharu dalam parti.
“UPKO kini mempunyai 26 bahagian dan jika dilihat, beberapa bahagian seperti Putatan, Papar, Kimanis, Beaufort, Ranau, Keningau dan Kota Marudu kini dipimpin oleh ketua bahagian baharu yang kebanyakannya berusia sekitar 40-an,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan proses peralihan kepimpinan dalam parti berjalan dengan baik apabila pemimpin lama memberi ruang kepada generasi baharu untuk meneruskan perjuangan.
“Pemimpin yang telah lama menjadi ketua bahagian membuka laluan kepada pemimpin baharu mengambil alih kepimpinan. Mereka yang terdahulu masih boleh terus menyumbang melalui Majlis Penasihat di peringkat bahagian.
“Manakala pemimpin baharu akan membawa nafas, semangat dan kepimpinan baharu tanpa mengabaikan pandangan serta sumbangan pemimpin sedia ada,” katanya.
Ewon berkata, keadaan itu juga selari dengan visi dan misi UPKO yang memberi ruang kepada kepimpinan generasi muda.
“Mungkin juga kerana Presiden UPKO sendiri berada dalam lingkungan usia 40-an, ia memberi keyakinan kepada pemimpin dalam kelompok usia yang sama bahawa mereka juga mampu memimpin di peringkat bahagian dan seterusnya di peringkat parti.
“Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif untuk UPKO dan saya amat bersyukur kerana kita menjadi sebahagian daripada kesinambungan perjuangan parti,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), Ewon berkata UPKO akan mengemukakan cadangan parti kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
“Sudah tentu saya akan mengemukakan cadangan parti, antaranya termasuklah cadangan calon daripada golongan muda, namun pada masa yang sama penyandang juga perlu diberi keutamaan melainkan terdapat pertimbangan lain hasil rundingan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap khidmat Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang menurutnya masih diperlukan sebagai suara penting Sabah di Parlimen.
“Saya melihat Datuk Madius sangat memberi khidmat dan suara di Parlimen. Parti menghargai sumbangan beliau dalam membahaskan pelbagai rang undang-undang serta mengangkat isu dan keperluan rakyat Sabah.
“Kita masih memerlukan suara beliau di Parlimen,” katanya.
Mengulas usul UPKO Bahagian Putatan yang mahu parti bertanding di kerusi Parlimen Putatan, Ewon berkata setiap bahagian bebas mengemukakan pandangan dan hasrat masing-masing.
“Saya mengalu-alukan hasrat ini. Kita tidak menghalang mana-mana bahagian UPKO mengemukakan pandangan termasuk soal hasrat dalam pilihan raya.
“Namun sebagai Presiden UPKO dalam GRS, prinsip kita ialah rundingan dan kerjasama. Saya bertanggungjawab membawa hasrat itu untuk dibincangkan, tetapi apabila keputusan dibuat, parti akan memberikan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata UPKO akan mengemukakan cadangan rasmi kepada Ketua Menteri Sabah berhubung persempadanan semula kawasan Parlimen di negeri ini.
Katanya, kali terakhir persempadanan semula dilakukan pada tahun 2004 dan sudah tiba masanya kajian baharu dilaksanakan bagi menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah.
“UPKO berpendapat sudah tiba masanya kerusi Parlimen di Sabah dikaji semula dan ditambah kerana salah satu perjuangan konsisten parti ialah menuntut satu pertiga daripada jumlah kerusi Dewan Rakyat diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.
“Untuk memenuhi tuntutan itu, kita mesti menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah.
“Sebab itu saya meminta semua bahagian UPKO mengemukakan pandangan secara rasmi dan bertulis untuk saya angkat kepada Ketua Menteri serta Majlis Tertinggi GRS, khususnya berkaitan cadangan sempadan baharu pilihan raya,” katanya.















Comments