KESUMA sedia RUU lindungi Pekerja Gig, bacaan pertama di Dewan Rakyat
7 November 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang giat menyediakan satu draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang bertujuan melindungi hak dan kebajikan pekerja dalam sektor ekonomi gig di Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, RUU ini dijadualkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
Jelas beliau, proses penggubalan RUU ini melibatkan perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan semua aspek perlindungan pekerja gig diambil kira.
“KESUMA sedang menggubal satu draf undang-undang dengan empat kunci utama, iaitu definisi, kadar upah yang setimpal, mekanisme, dan perlindungan sosial. Ini supaya kita dapat situasi menang-menang yang mencari titik persamaan dan mengandungi semua aspek yang kita hendak lindungi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, di Dewan Rakyat, lapor Berita RTM.
Abdul Rahman turut menyatakan bahawa KESUMA telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan sektor gig di Malaysia berdaya saing dan mampan.
Inisiatif-inisiatif tersebut melibatkan aspek kajian, perundangan, perlindungan sosial, dan pembangunan kerjaya bagi pekerja gig di Malaysia.
Comments