Ketegasan Sabah jaga kedaulatan sumber asli satu langkah penting, kepentingan alam sekitar dipelihara dan dipertahankan
5 Disember 2024
KOTA KINABALU : Ketegasan Kerajaan Sabah dalam menjaga kedaulatan sumber asli negeri ini adalah langkah penting untuk memastikan Sabah terus maju tanpa menggadaikan kepentingan alam sekitar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam satu kenyataan hari ini berkata mengeluarkan lesen prospecting untuk tujuan penerokaan dan kajian geomineral adalah satu hal yang biasa untuk tujuan kajian dan meneroka potensi.
Pada masa yang sama katanya, usaha pihak tertentu untuk memanipulasi fakta melalui penyebaran video dan propaganda politik bagi mencetuskan keresahan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Tuduhan palsu sebegini hanya bertujuan untuk menggugat kestabilan politik negeri serta mencemarkan nama baik kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut menyokong kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak dan sumber mineral Sabah akan terus dijaga dengan penuh integriti demi kesejahteraan rakyat.
"Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran YAB Ketua Menteri atas komitmen untuk mempertahankan prinsip ketelusan, keadilan, dan kejujuran dalam pengurusan sumber asli negeri.
"Marilah kita semua bersama-sama menyokong usaha ini demi memastikan Sabah terus maju, stabil, dan makmur untuk generasi masa depan," katanya.
Comments