Ketua Hakim Negara, KPN dahului senarai penerima darjah kebesaran Sabah
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 1 min read

30 Mac 2026
KOTA KINABALU: Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendahului senarai 90 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.
Wan Ahmad dan Mohd Khalid menerima darjah kebesaran tertinggi, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Pengurniaan itu disempurnakan oleh Tun Musa Aman pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Sabah yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris mendahului senarai 33 penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) disusuli Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Shamshor Jaafar.
Turut menerima PGDK ialah Ketua Konservator Hutan, Datuk Zulkifli Suara; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag Tahir; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis; serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pula mendahului senarai penerima Jaksa Pendamai (JP) bersama lima penerima lain antaranya peguam, Datuk Ram Singh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dr Ahemad Sade.

Selain itu, seramai 16 individu menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), diikuti 13 penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), lapan penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 10 penerima Bintang Kinabalu (BK) serta dua penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya; Timbalan-Timbalan Ketua Menteri; Menteri-Menteri Kabinet; serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.















Comments