Ketua Menteri zahir penghargaan jururawat sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

13 Mei 2025
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkannya sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat.
"Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di lobi utama Hospital Queen Elizabeth II, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman.
Hajiji berkata, memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat adalah penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.
Beliau berkata, sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan besar terhadap golongan yang menjadi tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan negara, iaitu jururawat kita.
“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Jururawat Kita Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan sekadar sebagai ‘penjaga pesakit’ di hospital, malah mereka adalah pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.
Ketua Menteri turut mengimbas kembali peranan luar biasa jururawat semasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemantauan, malah turut memberi sokongan emosi dan moral kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.
“Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga, pasangan dan anak-anak demi menjalankan tanggungjawab ketika itu.
“Sesungguhnya, mereka adalah wira yang tidak didendangkan, yang tetap tabah dan cekal bekerja dalam pelbagai keadaan mencabar, sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar mahupun di kawasan bencana,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, QEH memerlukan kira-kira 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit. Namun, sehingga kini, hanya 75,000 unit berjaya dikumpulkan setiap tahun.
"Saya dimaklumkan bahawa keperluan darah harian di Sabah adalah sebanyak 300 unit. Justeru, saya mahu agar lebih banyak program dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah," katanya.
Katanya, kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam
untuk menjadi penderma tetap.
“Sesungguhnya, menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.