top of page

Ketua Polis Penampang Lawat Tiga Sekolah Pedalaman

  • nabalunews
  • Jul 12, 2025
  • 1 min read

12 Julai 2025


PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melaksanakan inisiatif berimpak tinggi menerusi program turun padang Ketua Polis Daerah ke tiga sekolah pedalaman di Daerah Penampang.


Lawatan ke tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Terian, SK Buayan dan SK Longkogungan diketuai sendiri Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton bersama warga IPD Penampang.


Program berkenaan turut dibantu pasukan pengangkutan pacuan 4x4 dan pasukan NGO Support & Humanitarian Intervention For Emergency, Logistics & Defense (S.H.I.E.L.D.).

Sammy berkata, disamping menjalinkan interaksi bersama warga sekolah, pihak polis turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada pihak sekolah, para pelajar dan penduduk kampung berhampiran.


Katanya, ia sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan terhadap kesejahteraan mereka.


“Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara PDRM dengan komuniti luar bandar, khususnya penduduk dan warga sekolah di kawasan pedalaman.

“Melalui pendekatan kepolisan komuniti ini, para pelajar dan penduduk kampung diberi pendedahan awal mengenai peranan serta tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sammy berkata, lawatan itu turut memberi peluang kepada pihak polis untuk menilai keperluan strategik termasuk potensi lokasi pendaratan helikopter, kecekapan sistem komunikasi dan kemudahan logistik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 yang akan datang.


“Lawatan seperti ini bukan saja dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis, malah memperkukuh strategi keselamatan di kawasan yang sukar diakses.


“Ia selari dengan aspirasi PDRM untuk terus mendekati rakyat serta memperlihatkan imej pasukan polis yang lebih mesra, prihatin dan proaktif.


“Secara keseluruhan, program ini telah berjalan dengan lancar dan memberi impak positif yang besar kepada komuniti setempat serta menjadi simbol keprihatinan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab secara inklusif tanpa mengira lokasi atau kedudukan geografi masyarakat,” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page