top of page

Kimia Melangkaui Makmal Pacu Inovasi, Kelestarian dan Laluan Kerjaya

  • nabalunews
  • Jan 30
  • 2 min read

30 Januari 2026


KOTA KINABALU: Bidang kimia kini berkembang melangkaui aktiviti eksperimen di dalam makmal dan muncul sebagai pemacu utama inovasi teknologi, kelestarian alam sekitar serta pembangunan kerjaya profesional dalam pelbagai sektor industri dan penyelidikan.


Peranan strategik bidang tersebut diketengahkan menerusi ceramah perkongsian ilmu bertajuk “Chemistry Beyond the Laboratory: Innovation, Sustainability and Career Pathways” yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.


Ceramah berkenaan dianjurkan sempena Program ‘Chemistry Exploring: Unlocking Chemical Innovations for Future’ oleh Kelab INCHEMOR, sesi 2025/2026, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di bawah pimpinan Pengarah Program, Muhammad Adika Mat Khamis, pelajar Tahun 1 Program Kimia Industri UMS.

Program itu bertujuan memperluas pemahaman masyarakat, khususnya golongan pelajar, terhadap peranan kimia dalam menyokong pembangunan masa hadapan berteraskan inovasi dan kelestarian.


Ceramah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi, pensyarah Program Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UMS, dan berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta masyarakat awam.


Dalam ceramah tersebut, Sani menekankan bahawa persepsi kimia sebagai bidang yang terhad kepada bahan berbahaya dan kerja makmal perlu diperbetulkan, memandangkan sains kimia merupakan tunjang kepada pelbagai kemajuan moden.


“Kimia berada di sekeliling kita, daripada makanan, bahan binaan dan perubatan sehinggalah kepada teknologi pintar serta penyelesaian masalah alam sekitar. Tanpa kimia, kebanyakan kemajuan ini tidak dapat dicapai.


“Pembangunan bahan baharu termasuk polimer pintar merupakan antara tumpuan utama penyelidikan kimia masa kini.


“Bahan tersebut mampu bertindak balas terhadap rangsangan persekitaran seperti suhu, cahaya dan perubahan pH, sekali gus membuka peluang aplikasi dalam bidang perubatan, kejuruteraan, elektronik dan pembungkusan pintar,” jelasnya.


Menurut Sani, penggunaan polimer pintar dalam sistem penghantaran ubat membolehkan rawatan yang lebih terkawal dan berkesan, selain meningkatkan keselamatan pesakit serta kualiti rawatan.


Selain itu, kemajuan teknologi analisis dan penderiaan kimia turut memainkan peranan penting dalam kawalan kualiti industri, keselamatan makanan, pemantauan pencemaran dan pengesanan awal risiko kesihatan awam.


“Teknologi penderiaan berasaskan kimia membolehkan pengesanan bahan pada kepekatan yang sangat rendah dengan tahap ketepatan tinggi, sekali gus membantu melindungi kesihatan masyarakat dan alam sekitar,” katanya.


Aspek kelestarian alam sekitar turut diberi penekanan apabila beliau menggariskan kepentingan penerapan prinsip kimia hijau dalam penyelidikan, pengajaran dan aplikasi industri.


Prinsip tersebut merangkumi penggunaan bahan yang lebih selamat, pengurangan sisa berbahaya serta kecekapan tenaga dalam proses kimia.


“Ahli kimia hari ini perlu memastikan setiap inovasi yang dihasilkan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.


“Dalam konteks perubahan iklim dan pencemaran global, peranan ahli kimia sebagai semakin kritikal, khususnya dalam pembangunan teknologi rawatan sisa, pemantauan kualiti alam sekitar serta penyediaan data saintifik bagi menyokong penggubalan dasar,” jelas beliau.


Ceramah itu turut memberi pendedahan mengenai pelbagai laluan kerjaya dalam bidang kimia, antaranya sebagai saintis penyelidikan, ahli kimia industri, pegawai jaminan kualiti, pakar kawal selia serta pendidik dan komunikator sains.


Menurut beliau, graduan kimia memiliki kemahiran analitikal, pemikiran kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah yang tinggi, sekali gus menjadikan mereka aset penting dalam pelbagai sektor pekerjaan.


Sani turut berharap agar lebih banyak program perkongsian ilmu seumpama itu dapat diteruskan bagi memastikan ilmu kimia dapat dikongsi secara inklusif demi menyokong pembangunan negara yang mampan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page