KKD sedia bekerjasama jika penjualan saham Menara KL disiasat

27 Disember 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memantau rapat isu penjualan saham Menara Kuala Lumpur dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh jika pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu tersebut.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, beliau memandang serius isu itu yang dibangkitkan di media social.
“Saya memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial serta soalan-soalan yang ditanya media berhubung pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) melalui pegangan saham penuh daripada pihak Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) kepada syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd.
“Saya telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada 14 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, beliau juga akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara itu daripada pihak Telekom Malaysia pada 3 Januari 2023.
“Saya difahamkan bahawa konsesi pengurusan Menara KL kini dalam tempoh interim ketiga sehingga 31 Disember 2022 oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd,” katanya.
Comentários