KKM bersedia hadapi Monsun Barat Daya, El Nino
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM bersedia hadapi Monsun Barat Daya, El Nino


10 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan persiapan untuk menghadapi kemungkinan kesan buruk Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada tahun ini.


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata jentera KKM di peringkat negeri dan pusat telah disiapkan untuk memberi rawatan terbaik kepada mangsa yang terjejas oleh perubahan cuaca ketara.


"Kita mempunyai jentera dalam KKM yang akan beri rawatan terbaik kepada mangsa... macam El Nino, ia beri perubahan haba ketara di negara ini.


"Mereka yang berdepan gejala berkaitan suhu tinggi, kita galakkan datang ke hospital dan jumpa doktor serta dapatkan rawatan segera," katanya.


Jelas beliau, KKM juga akan bekerjasama dengan agensi meteorologi untuk mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca dan memberi nasihat kepada orang ramai tentang cara-cara mengelakkan risiko kesihatan.


Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini yang akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat pada tempoh itu.


Sementara itu, beberapa agensi meteorologi antarabangsa pula meramalkan pembentukan El Nino akan bermula pada pertengahan 2023 hingga awal 2024 dan banyak negara telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kesan buruk fenomena itu.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page