top of page

KKM DAN GAVI MUKTAMAD TARIKH TANDATANGANI PENJANJIAN COVAX

  • nabalunews
  • Nov 19, 2020
  • 1 min read

19 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (GAVI) sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’ bagi menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 vaccine global access (COVAX).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri pada 14 Okt telah bersetuju agar Malaysia menyertai fasiliti COVAX, yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara ini.

Menurutnya, Jemaah Menteri juga bersetuju agar KKM mewakili kerajaan bagi memuktamadkan perjanjian penyertaan Malaysia ke dalam COVAX bersama pihak GAVI, dan Jabatan Peguam Negara turut ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat perjanjian yang ditetapkan GAVI.


“Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan melibatkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan ‘risk sharing guarantee’ berjumlah US$22,656,200.00 atau secara anggarannya RM94.08 juta,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu sama ada Malaysia menyertai inisatif COVAX disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang membolehkan 20 peratus daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin COVID-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan membantu membina semula ekonomi, serta kos penyertaannya.

Khairy berkata jaminan akses awal bekalan vaksin COVID-19 penting untuk melindungi rakyat daripada penularan wabak itu dan seterusnya membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.

Penyertaan Malaysia fasiliti COVAX merupakan pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan, serta mengurangkan risiko daripada memberikan tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin COVID-19. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page