KKM dan JBPM meterai NoU kerjasama strategik tingkat kualiti perkhidmatan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM dan JBPM meterai NoU kerjasama strategik tingkat kualiti perkhidmatan


23 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kerjasama strategik bidang kesihatan dan kebombaan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meningkatkan keupayaan aset dan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.


Ini diperkukuhkan dengan penandatanganan Nota Persefahaman (NoU) oleh kedua-dua pihak di sini, pada Selasa, yang disaksikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.


Menurut Dr Zaliha, NoU itu membolehkan KKM menggunakan aset JBPM serta berkongsi pengalaman, kepakaran dan latihan perubatan.


"Ia juga dapat meningkatkan kerjasama bagi pemindahan pesakit dan pasukan perubatan di hospital atau fasiliti kesihatan di seluruh negara terutamanya bagi kawasan Semenanjung Malaysia," katanya.


Nga pula berkata, isu kesihatan awam dan kebombaan merupakan unsur penting dalam menentukan kesejahteraan masyarakat.


"Di bawah NoU ini, KKM boleh beri latihan kecemasan kepada anggota bomba dan JBPM pula boleh bekerjasama dengan berkongsi pengalaman mengenai kebombaan kepada petugas KKM," katanya.


Nga juga menyatakan bahawa jalinan kerjasama antara KKM dan JBPM telah bermula sejak 2016 menerusi pendekatan "Strategi Lautan Biru" iaitu satu Surat Pertukaran telah dimeterai bagi kerjasama perkhidmatan prahospital dan ambulans.


Menerusi kerjasama tersebut, JBPM mendapat bantuan daripada KKM berkaitan Latihan Penggerak Balas Pertama (Kursus Asas) iaitu pegawai bomba dilatih sehingga diiktiraf oleh KKM dan seterusnya layak menganggotai Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page