top of page
nabalunews

KKM fokus tingkatkan penjagaan Kardiotorasik dan latihan pakar bedah





23 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited memperluas akses penjagaan kardiotorasik di seluruh negara dengan menambah baik pusat-pusat perubatan serantau dan melatih lebih ramai pakar bedah untuk menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD). 

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menekankan bahawa pembedahan kardiotorasik kekal sebagai komponen penting dalam rawatan pesakit kardiovaskular. 

 

"Melatih lebih ramai pakar bedah kardiotorasik ialah keutamaan untuk mencapai objektif KKM dalam membawa penjagaan pembedahan kardiotorasik lebih dekat dengan rakyat, terutamanya ketika penyakit tidak berjangkit terus meningkat di negara ini," katanya ketika merasmikan Kongres Tahunan ke-32 Persatuan Torasik dan Pakar Bedah Kardiovaskular Asia (ATCSA) dan Mesyuarat Saintifik Tahunan ke-24 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS), di sini pada Jumaat. 

 

Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama KKM dengan Royal College of Surgeons of Edinburgh's (RCSEd) melalui program latihan Parallel Pathway terus menjadi tulang belakang dalam meningkatkan keupayaan pakar kardiotorasik tempatan. 

 

"Kementerian juga memperkukuh semua program latihan kardiotorasik termasuk program sarjana di universiti tempatan," katanya. 

 

Dr Dzulkefly turut menekankan impak NCD terhadap ekonomi negara, dengan tiga kategori utama – penyakit kardiovaskular, diabetes, dan kanser – menyumbang kepada kerugian produktiviti sebanyak RM12.88 bilion. 

 

"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada tiga mendapat tekanan darah tinggi, dan satu daripada enam menghidap diabetes," katanya. 

 

Bagi menambah baik perkhidmatan, KKM merancang menambah baik tujuh pusat kardiotorasik serantau di seluruh negara dan membuka pusat baharu, termasuk pusat pembedahan kardiotorasik pediatrik di Hospital Seberang Jaya serta pusat kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. 

 

 

Comments


bottom of page