top of page
  • nabalunews

KKM jalankan Operasi Ramadan 2023 di seluruh negara


23 March 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Semua premis makanan termasuk bazar ramadan akan diperiksa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Operasi Ramadan 2023 yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, operasi ini berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 yang melibatkan pensampelan makanan dan pemeriksaan premis.


Beliau berkata, tujuan operasi ini adalah untuk memastikan makanan yang dijual atau disediakan adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturannya.


“Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan ( PBT) masing-masing. KKM menasihatkan orang ramai supaya memilih gerai yang bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik semasa membeli juadah di bazar ramadan,” katanya dalam kenyataan.


Dr. Noor Hisham turut menasihatkan peniaga supaya membasuh bahan mentah seperti telur sebelum digunakan dan tidak menyediakan makanan yang mudah basi terlalu awal (contohnya makanan berasaskan santan).


Beliau berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap keselamatan pengguna dan akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan untuk memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan terkawal.


Beliau turut memberitahu, sebelum bulan Ramadan bermula, KKM telah menjalankan pemeriksaan di peringkat sumber seperti bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang berlesen PBT.


“KKM juga telah bekerjasama dengan PBT untuk memberi taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan. Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan juga telah dijalankan melalui pelbagai media,” katanya.

bottom of page