KKM Lulus Penambahan Doktor di Hospital Ranau
- nabalunews
- Feb 10
- 1 min read

10 Februari 2026
RANAU: Isu kekurangan doktor di Hospital Ranau yang dibangkitkan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, mendapat perhatian serta tindakan segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut maklum balas rasmi kementerian, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan, perkara itu telah diteliti secara menyeluruh bersama pihak pengurusan tertinggi KKM.
Katanya, kajian itu melibatkan semakan keperluan tenaga kerja dan kapasiti perkhidmatan kesihatan di hospital yang diketahui menghadapi beban tugas yang tinggi.
“Hasil daripada tindakan tersebut, KKM mengesahkan bahawa penambahan jawatan doktor telah diluluskan bagi Hospital Ranau.
“Langkah proaktif itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan yang dialami, mempercepatkan proses rawatan pesakit, sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah Ranau dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin merakamkan penghargaan tertinggi kepada pihak Kementerian Kesihatan atas respons yang pantas dan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan serta keperluan kesihatan rakyat di kawasannya terjaga.
“Keprihatinan dan tindakan pantas KKM dalam menangani isu kritikal ini amat dihargai.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Ranau,” ujarnya.
KKM menegaskan komitmennya untuk sentiasa memantau dan menambah baik perkhidmatan kesihatan di semua peringkat, termasuk hospital-hospital di kawasan yang memerlukan perhatian khusus.
Penambahan doktor itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan sistem kesihatan negara.
Dengan langkah ini, diharapkan beban kerja kakitangan perubatan sedia ada dapat diringankan dan akses kepada rawatan perubatan yang lebih efisien dapat dinikmati oleh semua penduduk.















Comments