KKM TELITI TURUN KUASA KEPADA DOKTOR DI FASILITI SWASTA TANGANI PESAKIT COVID-19KKM TELITI TURUN KUASA KEPADA DOKTOR DI FASILITI SWASTA TANGANI PESAKIT COVID-19
top of page
  • nabalunews

KKM TELITI TURUN KUASA KEPADA DOKTOR DI FASILITI SWASTA TANGANI PESAKIT COVID-19


gambar hiasan

5 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti kemungkinan untuk menurunkan kuasa kepada fasiliti swasta supaya pegawai pengamal perubatan di fasiliti berkenaan boleh bersama-sama menangani pesakit COVID-19.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini pengamal perubatan swasta tidak diberi kuasa menangani kes COVID-19 dan kes-kes berkenaan dirujuk ke fasiliti kerajaan.


"Dengan penurunan kuasa ini doktor di fasiliti swasta dibenarkan untuk mengarahkan pesakit berisiko untuk menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) dan memakaikan gelang untuk pengawasan.


"Selepas tamat HSO, mereka boleh mengeluarkan arahan pelepasan serta memotong gelang pesakit,” katanya dalam sesi libat urus media darurat COVID-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di sini hari ini.


Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.


Setakat ini terdapat hampir 100 hospital swasta seluruh negara bersedia merawat pesakit COVID-19 melalui kerjasama awam-swasta dengan kapasiti lebih 1,000 katil, 65 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 64 ventilator.


"Walaupun setakat ini kita belum merujuk pesakit kita ke hospital swasta, tetapi hospital-hospital ini bersedia untuk menerima pesakit COVID-19 dan setakat ini ada 86 kes sedang dirawat di hopsital swasta," katanya.


Selain itu, KKM juga sedang mempertimbang untuk meminda Akta 586 bagi mengawal harga ujian saringan di fasiliti swasta.


"Setakat ini tiada akta khusus yang membolehkan KKM mengawal harga, namun pesakit berhak untuk dimaklumkan harga sebelum sesuatu prosedur dilakukan, bagi akta 586 sebelum ini kita gunakan untuk menetapkan harga siling pelitup muka," katanya.


Dr Noor Hisham berkata KKM juga sedang dalam usaha menaikkan kadar kompaun dalam Akta 342 yang ketika ini berada pada paras maksimum RM1,000.


Jumlah kompaun tersebut dilihat tidak memadai bagi syarikat perusahaan berskala besar seperti kilang yang mempunyai ratusan pekerja dan menyebabkan pandemik tersebut merebak. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page