KKM tingkat pemantauan hospital swasta, tangani caj berlebihan
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 1 min read

8 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memperketat pemantauan serta audit terhadap hospital swasta bagi memastikan tiada caj rawatan berlebihan dikenakan kepada pesakit, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Menurut beliau, pemantauan dilaksanakan melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) yang bertanggungjawab memastikan fasiliti kesihatan swasta mematuhi peraturan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Pesakit boleh menyalurkan aduan kepada CKAPS melalui portal, talian telefon, surat rasmi atau hadir sendiri ke pejabat CKAPS di Putrajaya ataupun di peringkat negeri.
“Ia merupakan platform bagi memastikan hospital swasta patuh kepada peruntukan undang-undang berkaitan caj rawatan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari Samy Vellu yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan membendung caj berlebihan oleh hospital swasta serta peranan unit khas pemantauan dalam sektor kesihatan swasta.
Lukanisman berkata, fasiliti swasta yang tidak mematuhi jadual fi bawah Akta 586 boleh diambil tindakan termasuk penggantungan dan pembatalan lesen.
Dalam pada itu, katanya, KKM turut mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) serta pemain industri perubatan dan insurans bagi membangunkan protokol tuntutan insurans yang lebih telus.
“Di peringkat dasar, jawatankuasa bersama ini menyelaras tindakan rentas kementerian melibatkan isu kadar bayaran, pematuhan dan intervensi kos.
“Ia juga akan memacu pembangunan produk asas insurans atau takaful perubatan bagi meningkatkan ketelusan dan menstabilkan inflasi kos dalam sektor swasta,” jelasnya.


















Comments