KKM UTAMAKAN PEGAWAI PERUBATAN, PERGIGIAN KONTRAK ANAK NEGERI UNTUK LANTIKAN TETAP
nabalunews
Dec 21, 2020
1 min read

21 DIS 2020
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengutamakan pegawai perubatan dan pergigian kontrak dalam kalangan anak Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk lantikan tetap bagi berkhidmat di negeri asal masing-masing.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata berdasarkan rekod, seramai 174 pegawai perubatan lantikan kontrak yang merupakan anak kelahiran Sarawak telah layak dipertimbangkan untuk lantikan tetap bagi kohort 2016 dan 2017.
“Daripada jumlah itu, seramai 108 orang pegawai perubatan (anak kelahiran Sarawak) telah mendapat lantikan tetap manakala pegawai pergigian lantikan kontrak anak Sarawak yang mendapat lantikan tetap pula ialah seramai 50 orang dalam (tempoh 2016 dan 2017),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew berhubung panel pemilihan dan kriteria bagi menawarkan jawatan tetap kepada pegawai perubatan dan pergigian yang berasal dari Sarawak dan berkhidmat di negeri itu.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata pegawai perubatan dan pergigian yang dilantik secara kontrak bagi tujuan menjalani latihan siswazah atau khidmat wajib di KKM boleh dipertimbangkan untuk lantikan tetap.
Beliau berkata bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada syarat pelantikan tetap serta kekosongan jawatan.
‘’Proses penilaian bagi tujuan pelantikan tetap dibuat sepanjang tempoh latihan siswazah bagi pegawai perubatan atau khidmat wajib bagi pegawai pergigian.
‘’Semua pencapaian semasa latihan siswazah dan khidmat wajib akan dikumpul dan disaring oleh Jawatankuasa Pemilihan Lantikan Tetap di peringkat Ibu Pejabat KKM, ini bagi memastikan proses penilaian dan pemilihan dibuat dengan adil dan telus,’’ katanya.
- Bernama















Comments