top of page

Klinik luar bandar perlu terus diperkasa – Hanifah

  • nabalunews
  • 51 minutes ago
  • 2 min read

20 Mei 2026


TUARAN: Klinik kesihatan di luar bandar perlu terus diperkasa bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib.


Beliau berkata usaha menaik taraf fasiliti kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar, merupakan keperluan penting dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer selaras dengan agenda reformasi kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Langkah strategik ini amat penting bagi menjayakan agenda kementerian iaitu beralih daripada merawat penyakit kepada penjagaan kesihatan yang bermula di peringkat fasiliti kesihatan primer,” katanya pada Majlis Perasmian Blok Baharu Klinik Kesihatan Tenghilan, di sini pada Isnin.


Blok baharu Klinik Kesihatan Tenghilan yang siap dibina pada 2024 itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 23,000 penduduk sekitar melalui penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cepat dan efisien.


Hanifah berharap masyarakat di daerah Tuaran, khususnya penduduk dalam kawasan liputan Klinik Kesihatan Tenghilan, menjadikan klinik itu sebagai pusat rujukan utama bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan, tetapi juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan penyakit serta amalan gaya hidup sihat.


“Saya berharap dengan adanya blok baharu ini, penyampaian perkhidmatan akan menjadi lebih cekap dan selesa selain mewujudkan suasana kerja yang lebih baik kepada petugas kesihatan,” katanya.


Dalam pada itu, Hanifah turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan susulan perubahan iklim global yang menyebabkan cuaca tidak menentu termasuk peningkatan suhu panas, gelombang haba, banjir kilat dan hujan berterusan.


“Jika berlaku cuaca panas ekstrem, hadkan aktiviti luar dan pastikan minum air putih secukupnya selain memakai pakaian yang longgar dan ringan bagi membantu pengaliran haba badan.


“Semasa hujan lebat dan berlakunya banjir, patuhi arahan berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa dan lakukan dengan segera kerana keselamatan nyawa adalah keutamaan tertinggi,” katanya.


Beliau turut menyeru masyarakat membudayakan gaya hidup sihat termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta mempergiat usaha pencegahan penyakit seperti membersihkan kawasan air bertakung bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page