KM dan isteri hadir Majlis Penghargaan dan Terima kasih
- nabalunews
- Jan 18
- 1 min read

18 Januari 2026
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Datuk Hajah Juliah Salag hadir ke Majlis Penghargaan dan Terima Kasih di Dewan Seri Sulaman, di sini pada Sabtu.
Majlis Penghargaan dan Terima Kasih Daripada Hajiji itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
Ketibaan Hajiji bersama Juliah, disambut meriah dengan iringan persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen berterusan Ketua Menteri kepada rakyat Sabah.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah, jentera parti, penjawat awam serta semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran negeri merupakan prasyarat penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Hajiji turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri serta memastikan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis tempatan dan artis jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan program itu sebagai platform mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh
makna.
Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin dengan pelbagai lagu popular sekali gus memeriahkan suasana majlis hingga ke penghujung acara.


















Comments