top of page

KM: Golongan wanita diberi peluang serta faedah sama rata

  • nabalunews
  • Sep 18
  • 2 min read

James mewakili Ketua Menteri melancarkan gimik perasmian sempena Simposium ⁷Sabah Women Leader 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis
James mewakili Ketua Menteri melancarkan gimik perasmian sempena Simposium ⁷Sabah Women Leader 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis

18 Sept 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memastikan golongan wanita diberikan peluang serta faedah sama rata agar lebih ramai terlibat dalam pembentukan dasar dan pembuatan keputusan dalam sektor perkhidmatan awam dan agensi kerajaan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan kira-kira RM10 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi pelaksanaan pelbagai program untuk membangunkan, dan memperkasa pemimpin wanita berwibawa di negeri ini.


“Kita berharap dapat melahirkan generasi wanita Sabah yang berdaya tahan, berilmu, berkemahiran tinggi serta mampu memimpin bukan sahaja dalam komuniti mereka tetapi juga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemimpin Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.


Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.


Hajiji berkata, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, antaranya jurang peluang pekerjaan antara lelaki dan wanita, isu diskriminasi gender secara tidak langsung, serta halangan budaya dan persepsi masyarakat yang kadangkala membataskan potensi sebenar wanita.


Selain itu, cabaran untuk memastikan akses yang adil kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang ekonomi juga menjadi keutamaan yang memerlukan perhatian berterusan daripada semua pihak, katanya.


Hajiji berkata, sebelum penganjuran simposium ini, program pemerkasaan wanita telah melalui beberapa fasa, termasuk program Engagement with Sabah Women’s Leaders yang diadakan pada 16 Jun 2025 dengan kehadiran 1,300 orang wanita.


Fasa seterusnya melibatkan bengkel Sabah Women’s Lab Fasa 1 yang disertai 300 peserta terpilih daripada 1,300 orang yang hadir pada program libat urus tersebut.


Semasa sesi Sabah Women’s Lab Fasa 2: Incubator Lab, katanya, proses penapisan dan pemilihan yang lebih kritikal telah dijalankan dan 75 peserta berjaya membentangkan projek serta kertas kerja masing-masing.


Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada peserta yang telah menamatkan keduadua fasa Sabah Women’s Lab kerana mereka akan dipilih sebagai peserta program khas pemerkasaan wanita, Global Women @ SABAH (GLOW@SABAH).


Disertai kira-kira 3,000 wanita dari seluruh Sabah, tumpuan utama simposium ini adalah kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, ekonomi dan kepimpinan (politik) sejajar dengan Dasar Wanita Negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page