top of page

KM mahu lebih ramai anak Sabah sandang jawatan tinggi di Persekutuan

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

23 Januari 2026


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap lebih ramai anak Sabah yang berkelayakan dapat menyandang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk di Putrajaya.


Beliau berkata, anak Sabah perlu bersikap lebih terbuka dan bersedia menerima penempatan di luar negeri ini, termasuk di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan penyertaan yang lebih seimbang dalam pentadbiran Persekutuan.


“Anak-anak Sabah yang berkelayakan perlu menolak stigma tidak mahu bertugas di luar Sabah.

Banyak jawatan kosong dalam perkhidmatan Persekutuan ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia dan telah dipohon oleh anak Sabah.


“Apabila ditawarkan jawatan, termasuk jawatan tinggi, walaupun penempatan di Semenanjung, mereka perlu menerimanya supaya lebih ramai anak Sabah dapat berkhidmat dan menyumbang dalam jabatan-jabatan Persekutuan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi SPA Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.


Hajiji berkata, penglibatan lebih ramai anak Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan

bukan sahaja membuka peluang pembangunan kerjaya, malah dapat memperkukuh kefahaman serta penyertaan rakyat Sabah dalam sistem pentadbiran negara secara menyeluruh.


Sementara itu, Dr Ahmad Jailani dalam taklimatnya memaklumkan bahawa trend permohonan anak Sabah untuk menyertai perkhidmatan awam Persekutuan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.


Beliau berkata, secara purata kira-kira 2,000 anak Sabah dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan setiap tahun, khususnya untuk berkhidmat di negeri ini.


Menurutnya, bagi memudahkan urusan pengambilan dan temu duga, SPA Malaysia akan membuka sebuah lagi pusat temu duga baharu di Sabah tahun ini, iaitu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau.


“Ketika ini, pusat temu duga SPA di Sabah terletak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya.


Beliau turut memaklumkan Ketua Menteri mengenai pelaksanaan program ‘outreach’ SPA di

Sabah, termasuk penglibatan dalam Kampung Angkat MADANI, selain jalinan kerjasama dan hubungan rapat yang berterusan antara SPA Malaysia dan SPA Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page