KM: Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri akan dibawa ke bandar utama di negeri ini
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

5 September 2025
SANDAKAN: Kerajaan negeri memutuskan acara sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri akan dibawa ke daerah-daerah lain khususnya bandar-bandar utama di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini bermakna acara sambutan tidak hanya tertumpu di ibu negeri sahaja tetapi juga di daerah dan bandar utama di negeri ini.
"Usaha ini memberi peluang kepada penduduk setempat dapat menyertai atau mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan yang sangat bermakna ini, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan perasmiannya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini pada Jumaat.
Hajiji turut mengajak umat Islam di negeri ini sentiasa menghayati sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar dalam lisan dan sambutan semata-mata, tetapi melalui amalan hidup harian sebagai umat yang bertanggungjawab dan berbakti demi agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata, sambutan ini bukan sekadar memperingati sejarah kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tetapi juga sebagai penzahiran kecintaan terhadap baginda SAW, serta komitmen untuk terus menjadikan sunnah Baginda dan Islam sebagai Ad-din dalam membentuk masyarakat madani yang progresif, sejahtera dan berakhlak mulia.
“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan asas keimanan, keadilan sosial dan perpaduan antara kaum. Inilah model yang patut kita contohi dan sesuaikan dengan realiti Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama.
“Saya percaya, dengan kerjasama erat antara kerajaan, institusi agama, badan bukan kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat, kita mampu membentuk umat madani yang berdaya saing, berakhlak dan berilmu; serta bersatu padu ke arah kemajuan dan kegemilangan negeri Sabah yang tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperhebatkan pendidikan agama, pengukuhan institusi Islam, serta pemerkasaan golongan belia dan wanita, sesuai dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan dalam aspek Pembangunan Modal Insan.
“Justeru, tema Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini iaitu Membangun Ummah Madani amat bertepatan dengan cabaran serta harapan yang kita galas sebagai rakyat dalam sebuah negeri yang berbilang suku kaum dengan kepelbagaian adat dan budaya, serta kaya dengan sumber alam.
“Ia juga melambangkan agenda utama kerajaan dalam membina masyarakat yang seimbang dari segi spiritual dan material; masyarakat yang menjunjung nilai-nilai murni Islam dalam konteks kemajuan, kemakmuran serta perpaduan,” katanya.
Hajiji berkata, kelmarin (Khamis) beliau berpeluang meninjau pembinaan Pusat Islam Sandakan. Pembinaan kompleks ini adalah idea Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman ketika beliau menjadi Ketua Menteri pada tahun 2017. Justeru, kompleks ini bukan hanya menjadi mercu tanda baharu di bandar ini malah mampu mengangkat syiar Islam di negeri ini.
“Insya Allah, Sandakan ini, akan terus kita bangunkan, selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ, yang memfokuskan pembangunan yang holistik dan inklusif, lebih-lebih lagi Sandakan, sebagai bandar kedua terbesar di Sabah, yang berpotensi tinggi untuk terus dibangunkan dalam pelbagai sektor, khususnya pendidikan, pelancongan, perniagaan dan perdagangan,” katanya.
Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447/2025M, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori lelaki kepada Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.
Serta Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori wanita kepada Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah.
Comments