top of page

KM terima kunjungan JK Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah

  • nabalunews
  • 46 minutes ago
  • 2 min read

26 Januari 2026


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.


Kunjungan itu diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan turut menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026.


Majlis berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu dijadualkan berlangsung pada 6 Februari depan di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.


Menurut Nizam, sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan, bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.


Sementara itu, Hajiji merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia dan berjaya menyumbang keseluruhan 10 pingat emas, 15 perak serta 15 gangsa pada Sukan PARA ASEAN (APG) Ke-13 yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 21 hingga 26 Januari 2026.


Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan.


Dalam temasya itu, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa bagi acara renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa bagi acara ping pong; serta masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (Demo Sukan).


Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga. Atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee yang merangkul emas acara lompat jauh lelaki T12, sekali gus mencipta rekod baharu APG dengan lompatan sejauh 6.83 meter.


Turut hadir pada kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Asneh Mohd Noor; serta Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page