KO-NELAYAN bakal laksana 8 program dan 28 projek bawah RMK13
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 2 min read

14 Februari 2026
KOTA KINABALU: KO-NELAYAN menerima peruntukkan sebanyak RM108.4 juta bagi melaksanakan lapan program dan 28 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau yakin pelaksanaan itu mampu memberi impak terbaik kepada nelayan laut dan nelayan darat.
“Tahniah juga kepada KO-NELAYAN kerana sebelum ini berjaya membelanjakan kira-kira 90 peratus daripada peruntukan berjumlah RM39.7 juta.

“Ia sekali gus memberi impak melalui pelaksanaan pelbagai projek di bawah KO-NELAYAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Apresiasi KO-NELAYAN 2026 di Hotel Marriott Kota Kinabalu kelmarin.
Turut hadir Pembantu Menteri I, Datuk Ruslan Muharam; Pengerusi KO-NELAYAN, Datuk Harun Durabi; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengurus Besar KO-NELAYAN, Yusof Awang Besar.

Jamawi berkata, semua ketua jabatan juga disarankan supaya mengurangkan masa di pejabat dan berada lebih banyak di lapangan.
“Di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, kita perlu turun padang, menyelesaikan masalah pelanggan dan membantu mereka mengusahakan yang terbaik supaya dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka.
“Kerjasama erat dan kukuh dalam kalangan warga KO-NELAYAN perku terus diperkasakan bagi memastikan organisasi itu mencapai kecemerlangan.
“Dalam tempoh lebih kurang lima tahun perkhidmatan saya sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga nelayan dan petani, sekurang-kurangnya akan ada impak berkesan untuk mereka menambah pendapatan,” katanya.
Jamawi berkata, kementeriannya akan memberi penekanan terhadap usaha memperkasa inisiatif seperti Inisiatif Kebun Dapur.
“Pelaksanaan inisiatif kebun dapur bukan sekadar pemberian subsidi, tetapi galakan dengan memberi peluang kepada mereka mendapatkan bahan tanaman pada diskaun terbaik,”katanya.
Sementara itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada KO-NELAYAN atas jemputan ke majlis tersebut serta mengucapkan tahniah kepada Kelab KO-NELAYAN yang menjayakan penganjuran program berkenaan.
Katanya, penganjuran Malam Apresiasi KO-NELAYAN ini bukan sahaja menjadi platform menghargai warga kerja, malah mengeratkan hubungan silaturrahim yang menjadi asas kecemerlangan perkhidmatan organisasi itu.
Pada majlis berkenaan, Jamawi turut menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025.














