KOLABORASI STRATEGIK SESB DAN JBS DALAM KONSERVASI HUTAN
- nabalunews
- Dec 4, 2020
- 2 min read

4 DIS 2020
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) prihatin berkenaan tanggungjawab bersama pemuliharaan Hutan dan Hidupan Liar di negeri ini yang akan terlaksana melalui usaha strategik bersama dengan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).
Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Ir. Abdul Nasser Bin Abdul Wahid berkata SESB sebagai syarikat yang mengendalikan utiliti elektrik di negeri ini, adalah bertanggungjawab untuk memastikan pembangunan infrastrukturnya terlaksana sebaik mungkin dan dalam masa yang sama bertanggungjawab untuk memastikan keadaan persekitaran tidak terjejas.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata SESB akan memberikan kerjasama kepada pihak pihak berkuasa terbabit seperti JPS untuk projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan elektrik yang akan melalui kawasan hutan simpan di bawah npengurusan JPS.
“Usaha ini SESB realisasikan melalui tanggungjawab sosial korporat syarikat dengan memberikan sumbangan bagi pelaksanaan penanaman rumput napier, sejenis tumbuhan untuk makanan gajah,” katanya dalam satu kenyataan media selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Konservator Hutan, Frederick Kugan pada Khamis.
Pada masa yang sama, Ketua Konservator Hutan menjelaskan program penanaman rumput napier yang dilaksanakan bersama SESB ini adalah sebagai perintis kepada usaha menyediakan koridor alternatif kepada gajah bagi mengurangkan impak ke atas habitat gajah berkenaan akibat penerokaan baru seperti kawasan penempatan baru, perladangan dan projek-projek infrastruktur.
Sumbangan sebanyak RM50,000.00 diserahkan oleh SESB kepada JPS bagi Program Enrichment Corridor – Penanaman Rumput Napier.
Sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh SESB susulan kepada pemeteraian perjanjian di antara SESB dan JPS pada Mac 2020 semasa Bengkel Kajian & Penilaian Pampasan NNL Kawasan Perhutanan yang terlibat dengan pelaksanaan Projek Southern Link SESB yang dirancang akan dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan bermula dengan kerja-kerja perolehan tanah untuk jajaran talian penghantaran sepanjang 330km.
Bengkel tersebut turut membincangkan berkenaan dengan pengurusan hutan dan alam sekitar, pendekatan dan mitigasi yang akan dibuat untuk meminimakan impak kepada kawasan hutan yang akan terjejas dengan pelaksanaan Projek Southern Link.
Projek Southern Link merupakan grid utama alternatif yang akan menghubungkan Pantai Timur Sabah & Pantai Barat Sabah. Projek talian penghantaran ini akan memperkukuh dan melengkapkan grid 'sistem ring 275kV' di negeri Sabah dengan jangkaan siap pada tahun 2025.
Pembinaan rangkaian penghantaran tersebut sejauh 330km bermula daripada Pencawang Masuk Utama Mengalong Sipitang ke Pencawang Masuk Utama Kalumpang, Tawau akan melibatkan rentasan rizab hutan simpan sejauh 120km.















Comments