top of page

Komitment Penjawat Awam Penentu Realisasikan SMJ 2.0

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 3 min read

8 Julai 2026


KOTA KINABALU: Kejayaan merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan seluruh penjawat awam untuk bergerak sebagai satu pasukan.


Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Zainudin Aman berkata setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu bertindak sebagai rakan strategik dalam menjayakan SMJ 2.0.


"Kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau pelan yang dirangka, tetapi melalui sejauh mana dasar tersebut berjaya mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.


"Saya yakin kejayaan merealisasikan aspirasi SMJ 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan seluruh penjawat awam untuk bergerak sebagai satu pasukan, iaitu tersusun, saling melengkapi serta berkongsi tanggungjawab terhadap matlamat yang sama. Inilah semangat yang menjadi teras Hala Tuju SMJ bahawa SMJ adalah milik kita bersama.



"Selain itu, budaya bekerja secara berasingan atau silo mentality dalam kalangan penjawat awam perlu ditinggalkan dan digantikan dengan budaya kolaboratif dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara.


"Kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kementerian dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan serta memperluaskan sinergi bersama sektor swasta, akademia serta komuniti bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak.


"Pada masa yang sama, komunikasi strategik perlu diperkasakan melalui pelaporan prestasi yang telus, penggunaan dashboard pemantauan serta perkongsian data yang berkesan bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan," katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang berlangsung di sini, pada Selasa.


Menurut beliau, program SANKALPA Sabah 2030 menjadi platform strategik menghimpunkan kepimpinan tertinggi sektor awam negeri bagi menyelaras hala tuju, memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan membina budaya pelaksanaan yang lebih berkesan


Beliau menambah, SMJ 2.0 turut mengiktiraf pendigitalan dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemboleh daya strategik dalam memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


Mengulas mengenai SMJ 2.0, beliau berkata pelan pembangunan itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan SMJ 1.0 yang merekodkan peningkatan hasil negeri, pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pembangunan modal insan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat.


"Pencapaian SMJ 1.0, membuktikan bahawa apabila dasar yang jelas disokong oleh pelaksanaan yang berkesan, hasilnya mampu memberi manfaat yang nyata kepada negeri dan rakyat.


"Justeru bagi SMJ 2.0, Key Performance Indicator (KPI) akan dinilai bukan sahaja berdasarkan mutu pelaporan tetapi sejauh mana memberi impak kepada Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah.


Dalam pada itu, Zainudin berkata, hasil pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 6 Julai lalu, beberapa perkara penting dipersetujui bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta pelaksanaan agenda pembangunan di Sabah.


"Antaranya ialah pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan projek menerusi konsep Review, Keep and Boost bagi mempercepat proses pengurusan projek di Sabah.


"Selain itu, cadangan pewujudan hampir 300 jawatan membabitkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut dipersetujui tanpa memerlukan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO), selain Mesyuarat Perhubungan Antara Negeri dan Persekutuan akan diadakan secara bersama oleh KSN dan SKN bagi membincangkan status pelaksanaan serta penyelesaian projek pembangunan," ujarnya.


Beliau turut, menyeru semua Setiausaha Tetap Kementerian dan Ketua Jabatan supaya memberi penekanan kepada pelaksanaan RKB dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu prosedur kerja sedia ada yang boleh ditambah baik melalui pendekatan RKB.


"Setiap kementerian dan jabatan juga perlu mempunyai pelan strategik, pensijilan ISO, Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) dan Good Regulatory Practice (GRP).


"Di samping itu, selain mengintegrasikan teknologi AI ke dalam proses kerja yang telah melalui fasa RKB bagi memaksimumkan kecekapan penyampaian perkhidmatan," jelasnya.


Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Rosmadi Datu Sulai, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Mansur Asun./Penerangan-

 
 
 

1 Comment


James Rodigues
James Rodigues
a day ago

It’s great to see local leaders actively supporting small businesses and helping them grow. Projects like Tamu Desa Kabatang Baru are essential for boosting the local economy and giving vendors a proper space to thrive.

If you want to save or share highlights of these local market events and vendor stories, I usually use this insta story downloader because it is super simple and quick to use.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page