Komuniti Blok Padang Tegaskan Tuntutan Tanah Adat
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
30 Mac 2026
KOTA BELUD: Sesi Libat Urus (SLU) Jawatankuasa (JK) Bertindak Blok Padang Tambulion Ulu bersama komuniti setempat di sini semalam melantik Boy Osmund sebagai pengerusi baharu, sekali gus memperkukuh kepimpinan dalam usaha menyelesaikan tuntutan tanah adat yang masih tergantung sejak 2008.
Pelantikan itu dibuat dalam program yang berlangsung petang semalam dan disepakati oleh komuniti sebagai langkah menyusun semula gerak kerja perjuangan serta memperkasakan tindakan strategik ke hadapan.
Lebih 15 tahun isu tanah adat Blok Padang belum menemui penyelesaian walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan. Dalam sesi tersebut, perbincangan tertumpu kepada keperluan tindakan lebih tersusun serta penyelarasan maklumat bagi memastikan tuntutan masyarakat setempat diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

Program turut dihadiri oleh mantan Ketua Anak Negeri (KAN) Sabanting Aban, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Micheal Tinggiu, Ketua Kampung Daiman Basinau, serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambulion Ulu yang baharu, Boniface @ Doni Jiran.
Boniface dalam ucapannya menegaskan bahawa pihaknya memberi perhatian khusus terhadap perjuangan komuniti Blok Padang dan bersedia menjalin kerjasama rapat dengan JK Bertindak bagi memperhalusi setiap tuntutan serta mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
Komuniti juga sebulat suara memohon penglibatan dan perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, untuk mengangkat isu ini ke peringkat lebih tinggi serta mempercepatkan proses penyelesaian secara adil dan menyeluruh.
SLU tersebut menjadi platform penting untuk merangka tindakan susulan yang lebih strategik demi memastikan hak serta kepentingan penduduk Blok Padang terus terbela. Program berakhir dengan harapan bahawa segala isu tertunggak dapat diselesaikan secara berperingkat menerusi kerjasama erat antara komuniti, kepimpinan kampung dan pihak berkuasa.















Comments